Recqueal Raimi


BUDAK lelaki yang hilang di Sungai Tuaran berhampiran Jambatan Sungai Damit di Kampung Sawah, di Tuaran, petang semalam, ditemui lemas tersangkut pada sisa kayu di dasar sungai berkenaan, hari ini.

Mayat Mohd Nor Irfan Norajamin, 7, ditemui anggota bomba pada jam 8.38 pagi di dasar sungai sedalam kira-kira tiga meter, berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ketika bermain dengan rakannya.

Bapa saudara mangsa dikenali sebagai Awis, 34, berkata mangsa dan rakannya bermain di halaman rumah kira-kira 10 meter dari tepi sungai sebelum kejadian itu.

“Kira-kira jam 4 petang, saya menegur mereka supaya berhenti bermain dan menyuruh pulang ke rumah masing-masing sebelum saya masuk ke dalam rumah.

“Namun, tidak lama kemudian, rakan mangsa berusia enam tahun itu memanggil saya mengatakan Mohd Nor Irfan tenggelam, lalu saya berlari ke arah sungai dan terjun mencari mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Awis berkata, sebelum terjun sungai, dia sempat memberitahu rakan mangsa supaya memaklumkan kepada keluarga dan penduduk kampung lain untuk menghubungi pihak bomba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Qawie Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.25 petang semalam sebelum menghantar 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

“Operasi yang bersambung pagi ini disertai 24 anggota termasuk PPDA dari Kota Kinabalu yang diketuai oleh Ketua Operasi, Faizal Alias.

“Mayat mangsa ditemui pada jam 8.38 pagi di dasar sungai sedalam tiga meter,” katanya.

Qawie berkata, operasi ditamatkan pada jam 9.13 pagi dan mayat diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 3:13 PM
MAYAT Mohd Nor Irfan dibawa ke tebing sungai. Gambar kecil ( Mohd Nor Irfan). FOTO Recqueal Raimi
MAYAT Mohd Nor Irfan dibawa ke tebing sungai. Gambar kecil ( Mohd Nor Irfan). FOTO Recqueal Raimi