ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang mengalami kekejangan kaki di Bukit Kutu. FOTO ihsna Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang mengalami kekejangan kaki di Bukit Kutu. FOTO ihsna Bomba
Amrullah Abdul Karim


PENUNTUT Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mengalami kekejangan otot kaki ketika mendaki Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu semalam berjaya dibawa turun dari bukit itu, hari ini.

Mangsa, Muhammad Anuar Muhammad Ismail Kil, 24, mengalami kekejangan otot kaki ketika mendaki bukit itu bersama tiga rakannya, Mohd Shahrun Mahmud, 24; Muhamad Shahril Mazwan Mazlam, 23; dan Nurul Harizah Salleh, 24.

Muhammad Anuar yang mempunyai berat badan 120 kilogram menghadapi kesukaran bergerak dan berjalan dalam keadaan yang gelap dan trek licin.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4.26 petang semalam selepas mangsa menghubungi talian kecemasan 999.

Menurutnya, 13 anggota terbahagi kepada dua kumpulan mendaki bukit itu petang semalam untuk menyelamatkan mangsa.

"Pada 6.11 petang pasukan penyelamat pertama seramai enam anggota memulakan operasi mendaki dan dua jam berikutnya pasukan kedua seramai tujuh anggota begerak menuju ke lokasi mangsa.

"Pada jam 9.45 malam tadi pasukan penyelamat pertama di puncak Bukit Kutu dan memaklumkan keadaan mangsa stabil cuma mengalami kekejangan di bahagian kaki namun sudah diberi rawatan awal," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba di Kampung Pertak.

Rosdi berkata, atas faktor kesihatan dan keselamatan mangsa semua anggota penyelamat terpaksa bermalam di puncak bukit itu.

Menurutnya, usaha membawa turun mangsa dijalankan 7.08 pagi tadi dan mereka tiba di pos kawalan bomba pada 10.40 pagi tadi.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 2:35 PM