ANGGOTA bomba membawa mangsa turun dari Bukit Kutu dengan pengusung. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membawa mangsa turun dari Bukit Kutu dengan pengusung. FOTO Ihsan Bomba
Faliq Lajim


PENDAKI lelaki yang terseliuh kaki ketika mendaki Bukit Kutu diselamatkan anggota bomba dalam operasi petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan 4.48 petang dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, tujuh anggota memulakan pendakian ke lokasi mangsa 6.38 petang.

"Pasukan mencari dan menyelamat tiba di lokasi mangsa 7.49 malam.

"Mangsa kemudian dibawa turun dengan pengusung dan tiba di pusat kawalan 9.43 malam," katanya.

Mohd Sani berkata, mangsa yang berusia 19 tahun itu mendaki Bukit Kutu bersama enam rakan lain.

Mereka adalah penuntut kolej vokasional di Perak.

Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan 11.58 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 10:06 AM