GAMBAR sebelum kejadian berlaku di Bukit Kutu.
GAMBAR sebelum kejadian berlaku di Bukit Kutu.
Amrullah Abd Karim


Kuala Kubu Bharu: “Saya tak mampu berjalan kerana terlalu sakit sehingga terpaksa dipapah rakan serta pendaki lain secara bergilir untuk turun ke kawasan lebih selamat sementara menunggu pasukan penyelamat tiba,” kata Afiq Dhamiri Ramlan, 19, yang cedera ketika mendaki Bukit Kutu di sini, kelmarin.

Afiq yang mesra dengan panggilan Obes berkata, dia bersama 10 rakannya dari Kolej Vokasional Seri Iskandar, Perak mendaki Bukit Kutu jam 8pagi, Sabtu lalu.

Dengan berat badan 130 kilogram, Afiq mendaki secara perlahan sehingga ke tapak perkhemahan ketiga Bukit Kutu jam 2 petang namun akibat keletihan mereka mengambil keputusan untuk tidak terus ke puncak dan turun lebih awal.

“Ketika mendaki kaki kiri saya memang sakit selepas terkena dahan pokok.

“Bila turun, kaki yang sama terseliuh menyebabkan kesakitan sehinggakan saya tak mampu berdiri.

“Nasib baik ada pendaki lain yang membantu berikan rawatan dan memapah saya turun perlahan-lahan ke tempat selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pasukannya berjaya membawa turun mangsa dengan mengusungnya lebih dua jam untuk sampai ke kaki bukit sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 11:57 AM