Oleh Nabihah Kamal

Kajang: Polis menyelamatkan seorang lelaki warga India selepas dia mendakwa menjadi mangsa dera majikannya di Country Height, di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 30 tahun diselamatkan selepas dia menghubungi keluarga di kampung bagi mendapatkan bantuan kerana tidak tahan dipukul majikan.

Difahamkan, bimbang dengan keadaan mangsa, keluarganya bergegas ke Kedutaan Malaysia di India untuk membuat aduan.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bergegas ke rumah majikannya di Country Height, di sini, kira-kira jam 9.30 malam sebelum menyelamatkan lelaki terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, mangsa mendakwa dia sudah bekerja dengan majikannya itu sejak lapan bulan lalu.

“Mangsa bekerja sebagai pembantu kedai dan pembantu rumah. Dia mendakwa didera sejak bekerja dengan lelaki terbabit,” katanya.

Menurutnya, tidak tahan didera, mangsa menghubungi keluarganya ketika majikannya tiada di rumah sebelum mereka membuat aduan di Kedutaan Malaysia di India.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pihak kedutaan dibantu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Balai Polis Kajang, Rabu lalu,” katanya.

Abdul Ghani berkata, pihaknya melakukan serbuan di rumah berkenaan sebaik menerima laporan itu.

Beliau berkata, setakat ini, peguam majikan itu memberitahu anak guamnya akan menyerah diri, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 11:30 AM