PENDUDUK dan agensi penyelamat bergotong royong membersih kawasan dan rumah penduduk di Kampung Kuala Bakong Mukim Bakai yang dilanda banjir. FOTO Safuri Kamarudin
PENDUDUK dan agensi penyelamat bergotong royong membersih kawasan dan rumah penduduk di Kampung Kuala Bakong Mukim Bakai yang dilanda banjir. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


NILAI kerugian dialami mangsa banjir yang yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjd Kampung Kuala Bakong, Mukim Bakai, Kuala Ketil, Baling dianggarkan RM50,000 selepas barangan di dalam rumah rosak.

Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Baling, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman, berkata, nilai kerugian itu dianggarkan selepas pihaknya menjalankan bancian daripada mangsa yang melaporkan kerosakan barangan dialami mereka.

Menurutnya, mangsa banjir memberitahu, banyak barangan tidak sempat diselamatkan dan rosak serta tidak boleh digunakan lagi.

"Bagaimanapun mereka sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang semalam selepas keadaan semakin pulih.

"Mereka tinggal di PPS itu tiga hari dua malam selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam satu meter," katanya.

Md Shuhaime berkata, pelbagai agensi dan sukarelawan diarah membantu mangsa melakukan pasca banjir memandangkan keadaan rumah mereka teruk dilanda bencana itu.

"Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Daerah Baling (MDB), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), E-Idaman, penghulu dan penduduk bergotong royong membersih kawasan dan rumah mangsa yang terbabit.

"Pejabat Daerah Baling, Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling dan JKM turut memberi peruntukkan barangan makanan, tilam dan katil kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan," katanya.

Seorang mangsa, Zulkifli Abd Razak, 35, berkata, dia bersyukur apabila pihak berkenaan cepat memberi bantuan kepada mangsa.

"Saya bersyukur pelbagai pihak membantu sebelum dan selepas kejadian berlaku.

"Meskipun banyak perabot yang rosak, tetapi tidak ada kejadian buruk berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 4:12 PM