MANGSA banjir ditempatkan di PPS Kompleks Rakan Muda, Batu 42, Baling, hari ini. FOTO Safuri Kamarudin.
MANGSA banjir ditempatkan di PPS Kompleks Rakan Muda, Batu 42, Baling, hari ini. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin


JUMLAH mangsa banjir ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling kekal 170 orang sehingga petang ini.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata mangsa daripada 56 keluarga itu ditempatkan di PPS Dewan Tun Abdul Razak dan Kompleks Rakan Muda Batu 42 di Mukim Siong dan Mukim Bongor.

Katanya, semua mangsa masih di PPS berikutan banjir belum pulih dan keadaan air Sungai Ketil kekal di paras bahaya.

“Antara kampung dilanda banjir adalah Kampung Tanjung Merbau, Kampung Banggol Serdang, Kampung Charok Sikin, Kampung Datuk, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Bendang Sera.

“Mangsa di kampung ini mula dipindahkan awal pagi tadi apabila air naik sehingga paras satu meter,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Rahmah Ahmad, 75, berkata, dia mulai berpindah ke PPS pada 2 pagi apabila air memasuki sehingga satu meter ke dalam rumah.

“Ketika itu saya tidur sebelum dikejutkan anak dan dibawa ke tempat selamat.

“Kali ini air dengan cepat dan tidak sempat menyelamat barang kerana mahu menyelamatkan diri daripada terperangkap,” katanya.

Katanya, banyak barang rosak tidak dapat diselamatkan seperti perabot serta peti sejuk.

Seorang lagi penduduk, Md Asik Yaakob, 85, berkata banjir kali ini paling teruk berbanding sebelumnya.

Dia berkata, mujurlah waktu kejadian itu ada anak di rumah dan sempat membawanya ke tempat selamat.

“Biasanya air naik hanya 0.5 meter sahaja dan tidak memasuki rumah, tetapi kali ini air masuk dengan cepat.

“Saya meminta anak membawa saya ke tempat selamat kerana keadaan sudah uzur dan bimbang kejadian lebih buruk,” katanya.

Sementara itu, pihak Institut Pengurusan Dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN) ditugaskan untuk menyediakan makanan kepada mangsa ditempatkan di PPS berkenaan.

Pengurus Besarnya, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman, berkata mereka turun padang untuk membantu mangsa ditimpa bencana.

“Kami menyediakan makan untuk mangsa sehingga malam ini.

“Selain itu, kami turut menyumbang dua periuk besar untuk kemudahan memasak di PPS berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

'Sungai Ketil melimpah, 145 mangsa pindah'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 7:02 PM