ANGGOTA APMM memeriksa mayat Mohamad Aznan yang ditemui tersangkut pada pukat nelayan.
ANGGOTA APMM memeriksa mayat Mohamad Aznan yang ditemui tersangkut pada pukat nelayan.
HM Digital

Alor Setar: Mayat nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika menarik pukat di barat daya Pulau Rebak Besar, Langkawi, Khamis lalu ditemui semalam.

Mangsa, Mohamad Aznan Abd Rashid, 40, ditemui tersangkut di pukat oleh nelayan tempatan kira-kira 7 batu nautika barat daya dari Pulau beras Basah, Pulau Langkawi.

Timbalan Pengarah Operasi DM 1 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada nelayan, Dilip Usman, 54, jam 8.15 pagi yang melaporkan ada mayat di dalam pukat ketika mereka menggulung naik pukat.

Menurutnya, bertindak atas laporan Bot Peronda Kilat 6 terus diaturgerak untuk membuat pemeriksaan di lokasi mayat dijumpai.

“Ketika di lokasi, mayat ditemui terperangkap di dalam pukat dengan berpakaian lengkap.

“Mayat mangsa dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 7:48 AM