Anggota APMM membantu kru bot yang patah kaki kanan selepas terbelit pada tali pukat ketika menangkap ikan di kedudukan 42.9 batu nautika di barat Pulau Pangkor. Foto Ihsan APMM
Anggota APMM membantu kru bot yang patah kaki kanan selepas terbelit pada tali pukat ketika menangkap ikan di kedudukan 42.9 batu nautika di barat Pulau Pangkor. Foto Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


NELAYAN patah kaki selepas dipercayai akibat terbelit pada tali pukat berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan kira-kira 80 kilometer (42.9 batu nautika) barat Pulau Pangkor, semalam.

Dalam kejadian pada 3.51 petang itu, warga Thailand yang dikenali sebagai Kowit berusia 59 tahun itu diselamatkan Bot Penggalang 13 sebelum dibawa ke jeti berhampiran dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.

Pemangku Pengarah APMM Perak Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Perak sebelum aset agensi digerakkan ke lokasi untuk bantuan lanjut.

“Ketika kejadian berlaku, bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dan kaki mangsa dikatakan terbelit pada tali pukat berikutan cuaca buruk pada waktu menurunkan pukat.

“Bot Penggalang 13 yang diarahkan untuk memberi bantuan kecemasan membawa mangsa yang patah kaki kanan ke Jeti Perikanan Kampung Acheh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut dan pemilik bot berkenaan juga sudah dimaklumkan.

Sementara itu, APMM juga berjaya membebaskan sebuah bot nelayan tempatan yang ditahan Kapal Pengawas Perikanan Indonesia di kedudukan 45 kilometer barat laut Pulau Jarak, Lumut pada 11 pagi, semalam.

Menurut Shahrizan, hasil rundingan damai antara APMM Perak melalui Bot Penggalang 13 bersama Kapal Pengawas Perikanan Orca 02 berjaya membebaskan bot berkenaan dan rundingan kali ini turut membabitkan Kapal Maritim Nyalau dan pesawat udara.

“Pada mulanya, bot nelayan berkenaan ditahan hanya untuk membuat pemeriksaan dan rundingan yang dijalankan berjaya membebaskan bot bersama kru masing-masing dua warga Thailand dan tiga warga Kemboja.

“Bot itu kemudiannya diiringi ke Bagan Pancor, Pantai Remis untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati bot itu tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, operasi bersama PATKOR OPTIMA Malaysia-Indonesia yang sedang dijalankan ketika ini turut memberi kesan positif kepada rundingan yang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 4:59 PM