Zakaria Abdul Talib, 58, (tiga dari kiri) bersama isteri, Sabariah Harun, 57, (lima dari kanan) ceria melihat anaknya, Syazani Zahier Zakaria, 24, (tengah) menerima Anugerah Graduan Terbaik selepas Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-87, UiTM Perlis. FOTO AZHAR RAMLI
Zakaria Abdul Talib, 58, (tiga dari kiri) bersama isteri, Sabariah Harun, 57, (lima dari kanan) ceria melihat anaknya, Syazani Zahier Zakaria, 24, (tengah) menerima Anugerah Graduan Terbaik selepas Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-87, UiTM Perlis. FOTO AZHAR RAMLI
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

 

ANAK pesara kerani Mahkamah Syariah Perak, Syazani Zahier Zakaria, 24, dipilih Graduan Terbaik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis pada Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-87, di Arau, Perlis hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Sallehuddin Mohamed di Dewan Semarak.

Ketika ditemui, dia yang ditemani ahli keluarga berkata, dia bercita-cita membuat kajian bagi mencipta sejarah dunia perubatan dengan menghasilkan bakteria baharu yang lebih selamat dan mesra pesakit.

Menurutnya, impian itu didorong minat yang tinggi dalam bidang biologi yang dipelajarinya.

"Saya bertekad untuk mencipta (bakteria baru) malah jika diizinkan saya ingin menjadi pengkaji yang setaraf profesor negara lain yang berjaya menemukan satu mikroorganisma baharu dalam dunia perubatan.

"Meskipun datang dari keluarga yang sederhana, bagi saya itu sama sekali tidak menghalang saya untuk terus mencapai cita-cita," katanya ketika ditemui.

Anak pasangan Zakaria Abdul Talib, 58, dan Sabariah Harun, 57, berasal dari Ipoh itu turut melahirkan rasa bangga kepada kedua orang tuanya itu selepas dipilih seorang daripada 83 pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Naib Canselor.

"Ayah seorang pesara kerajaan dan jawatan terakhirnya ialah sebagai ketua kerani di Mahkamah Syariah negeri Perak manakala ibu bekerja di sektor swasta.

"Latar belakang kami memang sederhana tapi saya berbangga kerana hasil didikan mereka, kami anak-anaknya berjaya memasuki universiti awam bermula daripada abang sulung sehinggalah kepada saya," kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Menceritakan pengalamannya sebagai seorang mahasiswa sebelum ini, dia mengakui banyak diuji dengan pelbagai rintangan.

Bagaimanapun katanya, itu semua cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah bagi merealisasikan cita-citanya untuk bergelar saintis.

"Memang bersyukur kerana sepanjang bergelar mahasiswa saya mendapat anugerah dekan pada setiap semester dari pengajian diploma sehinggalah ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Saya berharap selepas ini akan menggunakan peluang yang ada selain berusaha untuk mendapatkan tempat sebagai seorang saintis di Pertubuhan Kesihatan Sedunia," ujarnya.

Pada Istiadat Konvokesyen UiTM Perlis kali ke-87 hari ini seramai 252 orang graduan meliputi 168 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 84 graduan diploma menerima ijazah dan diploma masing-masing dengan 83 daripada keseluruhan graduan menerima Anugerah Naib Canselor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 3:23 PM