DR Roziah (tengah) selepas menerima pengiktirafan MBOR daripada wakil MBOR, bergambar bersama Siti Nurhanim (kanan). FOTO Bernama.
DR Roziah (tengah) selepas menerima pengiktirafan MBOR daripada wakil MBOR, bergambar bersama Siti Nurhanim (kanan). FOTO Bernama.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi dua pengiktirafan iaitu Jumlah Skrol Terbanyak Dalam Istiadat Konvokesyen dan Bilangan Skrol Tertinggi Yang Disampaikan Oleh Naib Canselor.

Kedua-dua pengiktirafan ini diperakui MBOR apabila 31,220 graduan menerima skrol masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 yang berlangsung pada 26 November hingga 21 Disember.

Daripada jumlah itu, lebih 15,322 graduan menerima skrol ijazah dan diploma mereka daripada Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

Roziah berkata, selepas tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 dan mengharungi pelbagai cabaran menyesuaikan diri dengan aktiviti kampus secara maya dan hibrid, istiadat konvokesyen UiTM kembali dianjurkan secara fizikal bagi meraikan pencapaian graduan.

GRADUAN UiTM yang hadir menerima skrol pada hari terakhir Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam hari ini. FOTO Bernama.
GRADUAN UiTM yang hadir menerima skrol pada hari terakhir Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam hari ini. FOTO Bernama.

"Terima kasih kepada MBOR kerana memberikan pengiktirafan kepada UiTM dan saya terkejut kerana diberikan pengiktirafan individu sebagai penganugerah paling banyak iaitu 15,322 skrol.

"Fakulti Perniagaan dan Pengurusan yang paling ramai graduan kerana ia adalah fakulti terbesar dalam UiTM," katanya pada sidang media di DATC hari ini.

Roziah menerima sijil pengiktirafan berkenaan daripada wakil MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh selepas tamat sidang terakhir istiadat konvokesyen itu bagi kampus Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, sambutan secara fizikal bermula dengan konvokesyen ke-93 yang diadakan pada 15 Jun hingga 6 Julai 2022 dan konvokesyen ke-94 yang diadakan pada 10 hingga 21 September 2022.

Katanya, UiTM berbangga dengan pencapaian kesemua graduannya dan turut gembira meraikan kejayaan keluarga besar UiTM yang sehingga kini berjumlah 968,161.

"Kira-kira 85 peratus graduan UiTM ditawarkan pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian dan antara kurus yang menyumbang kepada kebolehpasaran tinggi adalah pergigian, farmasi, pengurusan dan perakaunan serta sains komputer.

"Hospitaliti (perhotelan) adalah antara yang mencabar dari segi kebolehpasarannya susulan pandemik Covid-19. Bagaimanapun pihak universiti melaksanakan banyak inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran termasuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan hotel dalam dan luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 8:28 PM