Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad (tengah) bersama Timbalan Naib Canselor USIM (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Datuk Zulkiple Abd Ghani (kanan) dan Timbalan Naib Canselor USIM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Roshada Hashim menunjukkan poster Konvokesyen USIM pada sesi sidang media di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai. FOTO KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad (tengah) bersama Timbalan Naib Canselor USIM (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Datuk Zulkiple Abd Ghani (kanan) dan Timbalan Naib Canselor USIM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Roshada Hashim menunjukkan poster Konvokesyen USIM pada sesi sidang media di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai. FOTO KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
Khairul Najib Asarullah Khan


SERAMAI 2,564 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal menerima diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen USIM ke-15 bermula Selasa ini.

Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 86 graduan menerima PhD berbanding 73 tahun lalu, diikuti sarjana (149 orang), diploma (64 orang) manakala sarjana muda, 2,263 orang.

Katanya, majlis kali ini bertemakan 'Teknologi Islam' selari dengan kelahiran kumpulan sulung graduan Sarjana Muda Kejuruteraan bawah Fakulti Kejuruteraan dan Seni Bina (FKAB).

"USIM juga akan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat kepada Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie. Beliau juga Penyandang Kursi Akademik Yayasan Tun Ismail (YTI) di Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM.

"Profesor Dr Nor Aripin Shamaan iaitu mantan profesor di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus.

"Selain itu, Profesor Dr Abdul Jalil Abdul Kader yang juga bekas profesor USIM dan bersara tahun lalu turut menerima penganugerahan gelaran Profesor Emeritus," katanya pada sidang media di USIM, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor USIM (Akademik dan Antarabangsa)Prof Datuk Dr Zulkiple Abd Ghani dan Timbalan Naib Canselor USIM (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Roshada Hashim.

Musa berkata, beberapa anugerah lain termasuk graduan cemerlang turut disampaikan antaranya Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Canselor iaitu masing-masing dua orang manakala seorang penerima bagi Pingat Emas Canselor.

"Majlis istiadat turut dimeriahkan dengan penganjuran Pesta Konvokesyen USIM dengan pelbagai acara menarik yang berlangsung mulai Sabtu hingga Khamis ini.

"Istiadat pembukaan majlis konvokesyen disempurnakan Tuanku Canselor USIM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bermula Selasa ini.

"Pro Canselor USIM yang juga Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz akan menyempurnakan pelancaran pesta konvokesyen Ahad ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 9:54 PM