Keratan laporan semalam mengenai suami isteri maut manakala anak perempuannya parah dalam kemalangan dk Beaufort.
Keratan laporan semalam mengenai suami isteri maut manakala anak perempuannya parah dalam kemalangan dk Beaufort.
Junaidi Ladjana


REMAJA perempuan yang parah dalam kemalangan mengorbankan ibu bapanya di Kilometer 14, Jalan Papar-Beaufort berhampiran Kampung Lanas, Beaufort, semalam, disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Bernie Chin Sun Ron, 17, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, kira-kira jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Mangsa adalah anak kepada suami isteri yang maut dalam kemalangan semalam dan bedah siasat akan dijalankan hari ini untuk mengenal pasti punca kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, kereta Toyota Vios dinaiki mangsa bersama ibu bapanya terbabit dalam kemalangan dengan dua lori menyebabkan Danny Chin, 54, dan isteri, Chong Chin Oji, 55, maut akibat lemas selepas kereta itu terhumban dalam parit manakala Bernie pula parah.

Dua pemandu dan seorang kelindan lori turut cedera dan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, ketika kejadian, tiga beranak warga Brunei itu dalam perjalanan dari Beaufort menuju Kota Kinabalu.

Berita berkaitan

Suami isteri maut, anak parah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 12:46 PM