PAPAN tanda had laju 60KM sejam di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran pejabat OSK Properties dan status di FB yang tular. FOTO Omar Osman
PAPAN tanda had laju 60KM sejam di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran pejabat OSK Properties dan status di FB yang tular. FOTO Omar Osman
Omar Osman


DAKWAAN pengguna Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil bahawa mereka disaman kerana memandu melebihi had laju sedangkan tiada papan tanda had laju 60 kilometer (KM) sejam, adalah tidak benar.

Gambar anggota polis trafik merakam gambar kenderaan yang dipandu melebihi had laju 60KM sejam serta rungutan pemandu yang tidak berpuas hati kerana menerima saman tular dilaman sosial Facebook (FB) sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, terdapat empat papan tanda amaran had laju 60 KM sejam yang dipasang di tepi jalan terbabit iaitu dua dari arah Sungai Petani dan dua dari Kuala Ketil dan mustahil pengguna yang melalui jalan itu tidak nampak.

Katanya, operasi penguatkuasaan yang dijalankan polis trafik bertujuan memberi kesedaran kepada pemandu agar tidak memandu melebihi had laju yang ditetapkan kerana laluan berkenaan sering berlaku kemalangan.

"Biar pun jarak jalan berkenaan hanya 17 kilometer, namun kemalangan kerap berlaku terutama di lokasi anggota trafik membuat perangkap had laju disebabkan tindakan pengguna yang memandu melebihi had laju.

"Sepanjang tahun ini terdapat 339 kemalangan dengan lima kes kemalangan maut yang berlaku sepanjang jalan berkenaan.

"Pihak polis juga mencadangkan kepada Jabatan Kerja Raya Kuala Muda supaya memasang lebih banyak papan tanda amaran had laju 60 KM sejam di sepanjang jalan berkenaan.

"Selain itu mereka yang tidak berpuas hati kerana disaman oleh polis trafik boleh membuat rayuan atau pembelaan di mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 12:23 AM