MAKMAL komputer musnah dalam  kebakaran. FOTO Ahmad Ismail
MAKMAL komputer musnah dalam kebakaran. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


MAKMAL komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat terbakar hampir 70 peratus, kira-kira 9 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pelajar mahupun guru pada waktu kejadian.

Beliau berkata, akibat kejadian itu kerugian dianggarkan mencecah RM100,000 dan pihaknya bersyukur Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadamkan api daripada merebak termasuk ke perpustakaan yang terletak bersebelahan makmal berkenaan.

“Ketika kejadian, tidak ada pelajar yang berada di pusat akses ini kerana bilik ini hanya beroperasi pada waktu petang dengan kawalan guru dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan.

“Pelajar yang berhampiran ketika itu berada di dalam kelas di tingkat dua blok ini dan mereka sedang mengulangkaji pelajaran selain malam semalam, kebanyakan guru berada di sekolah kerana menyertai kelas kemahiran al-Quran.

“Kebakaran terbabit memusnahkan 10 unit komputer, skrin layar, pendingin hawa dan beberapa peralatan pembelajaran yang lain,” katanya.

Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata demikian selepas melawat Pusat Akses SMKA Segamat, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menunggu laporan kebakaran daripada JBPM dan akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) untuk mengambil langkah seterusnya seperti proses membaikpulih bangunan berkenaan.

“Ketika kebakaran, kerja pendawaian keseluruhan struktur bangunan sedang dilakukan dan pihak sekolah juga sedang menunggu kebenaran daripada pihak bomba sama ada blok terbabit selamat diduduki atau sebaliknya.

“Kebakaran ini tidak menjejaskan proses pengajaran, pembelajaran dan persediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan latihan kebakaran juga sering dilakukan di sekolah ini.

“Kali terakhir latihan kebakaran dilakukan pada 26 September lalu dan ini membuktikan bahawa sekolah ini sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan seperti yang telah ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:58 PM