ANTARA PATI yang ditahan. FOTO Ihsan JIM
ANTARA PATI yang ditahan. FOTO Ihsan JIM
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


BIARPUN sudah dua kali diserbu, pusat urut yang menawarkan perkhidmatan seks di Jalan Puteri 4/8, Bandar Puteri Puchong, terus beroperasi sebelum digempur Jabatan Imigresen untuk kali ketiga, malam tadi.

Dalam Operasi Gegar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya diketuai Timbalan Penolong Pengarahnya, Mohd Yuzaiman Ahmad, 16 perempuan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang bekerja sebagai pelayan pelanggan dan tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis, ditahan.

Jurucakap JIM berkata, sebelum ini premis terbabit pernah diserbu tetapi bertahan kerana masih ada permintaan pelanggan.

Menurutnya, difahamkan mereka menawarkan perkhidmatan urutan seks pada harga RM128.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di pusat hiburan berhampiran, 19 wanita dan seorang lelaki PATI ditahan.

“Semua ditahan kerana didapati melakukan kesalahan melanggar syarat permit dan tiada permit yang sah mengikut Per.39(b) Peraturan-peraturan 1963 dan Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Jurucakap JIM berkata, tiga lagi serbuan berasingan dilakukan di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Sri Putra, Kajang.

Katanya, seramai sembilan lelaki dan tiga wanita PATI ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen sah.

“Warga tempatan yang ditahan diserahkan kepada Unit Siasatan JIM, manakala PATI dihantar ke depot tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 1:01 PM