Seramai 195 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditahan selepas kontena dalam ladang kelapa sawit yang dijadikan tempat tinggal mereka diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, semalam. FOTO JABATAN IMIGRESEN NEGERI JOHOR
Seramai 195 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditahan selepas kontena dalam ladang kelapa sawit yang dijadikan tempat tinggal mereka diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, semalam. FOTO JABATAN IMIGRESEN NEGERI JOHOR
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Seramai 195 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selepas kontena dalam ladang sawit yang dijadikan tempat tinggal mereka di Gelang Patah, di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, semalam.

Semua Pati itu tinggal di dalam lebih 15 kontena di bekas tapak pembinaan yang dikelilingi ladang sawit.

Lokasinya jauh dari laluan utama yang mana terdapat banyak lorong-lorong tersembunyi yang memudahkan mereka meloloskan diri.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, pihaknya menjalankan Ops Sapu itu secara berasingan di dua lokasi penempatan haram di Gelang Patah itu selepas menerima aduan berhubung kewujudan Pati di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, dalam operasi bermula kira-kira 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, seramai 641 warga asing dan tempatan diperiksa sebelum 195 daripada mereka yang berusia antara 19 hingga 69 tahun, ditahan.

"Dalam operasi ini, kita turut membuat pemeriksaan terhadap pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

"Hasil pemeriksaan di dua lokasi serbuan, kita berjaya menahan 62 lelaki warga Myanmar, 55 lelaki Bangladesh, 28 lelaki India, 26 lelaki Indonesia, lima wanita Indonesia, 16 lelaki Pakistan, dua lelaki China dan seorang lelaki Timor Leste.

"Semua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baharuddin berkata, semua Pati dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, beliau menyeru kepada majikan dan semua Pati yang berkelayakan untuk mengambil peluang menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang berakhir pada Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 9:54 AM