Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerima replika cek berjumlah RM1 juta dari Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum (tiga kiri) ketika Program Baiti Jannati di Putrajaya, turut kelihatan Pengerusi Mah Sing Faundation, Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman (dua kiri), Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, Datin Seri Anggraini Sentiyaki dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Siti A'isyah Sukaimi

SUMBANGAN berjumlah RM6.5 juta sehingga kini diterima daripada pelbagai pihak bagi pelaksanaan Program Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan khusus untuk golongan miskin bandar yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pelaksanaan program itu sejak Jun lalu adalah inisiatif Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan bertujuan membantu golongan terbabit bagi membaiki dan melengkapi unit kediaman mereka.

"Justeru, sumbangan diterima ini akan digunakan untuk membaiki dan melengkapi unit kediaman antaranya almari, katil, dapur serta keperluan asas yang lain.

"Melalui program ini, ia juga membantu fakir miskin untuk memiliki rumah sendiri iaitu badan amal berkenaan akan membantu menyelesaikan baki pinjaman rumah mereka," katanya pada sidang media majlis penyerahan sumbangan RM1 juta oleh Yayasan Mah Sing (MSF) kepada Program Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Cek sumbangan diserahkan Pengerusi MSF Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum kepada Tengku Adnan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, tinjauan dilakukan pihaknya mendapati, ada keluarga tidak mampu membayar sewa sekali

gus tertunggak dalam tempoh agak lama walaupun hanya RM124 sebulan.

Berhubung sumbangan itu, beliau berkata, ia akan diperuntukkan kepada lebih 300 penerima yang menyewa di sekitar Kuala Lumpur malah, mereka juga sudah dikenal pasti.

"Kira-kira 35,000 permohonan diterima bagi program berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 900 permohonan adalah layak.

"Pihak Celcom dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyampaikan sumbangan kepada badan amal berkenaan pada Ramadan lalu dan ia digunakan bagi membantu 28 penerima manakala, kita menyasarkan 53 penerima turut menerima sumbangan ini pada minggu depan," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan menyeru pelbagai pihak untuk turut serta memberi sokongan dan menghulurkan bantuan serta sumbangan bagi menjayakan program Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 7:40 PM