BERNAMA

GOLONGAN homoseksual dan biseksual kini menjadi kumpulan penyumbang utama penyebaran virus HIV dan AIDS, terutama di sekitar ibu negara.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/STI) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Rohaya Ramli berkata, walaupun trend jangkitan HIV mencatatkan penurunan, namun terdapat perubahan pola jangkitan virus itu.

“Kalau dahulu 80 peratus jangkitan HIV berpunca daripada penggunaan dadah, tetapi sekarang trend menunjukkan 96 peratus jangkitan melalui aktiviti seksual berdasarkan statistik sehingga Jun tahun ini.

"Sebanyak 65 peratus jangkitan berpunca daripada golongan homoseksual dan biseksual, manakala 31 peratus jangkitan melalui hubungan seksual lelaki kepada wanita dan sebaliknya,” katanya pada program Nine11 di Bernama News Channel, hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah jangkitan HIV yang direkod di seluruh negara sejak 1986 sehingga Disember lalu, ialah 110,000 kes.

Jumlah jangkitan penyakit AIDS pula sebanyak 23,000 kes dengan jumlah kematian keseluruhan, 18,000 kes.

"Bagi kes kumulatif di Kuala Lumpur untuk tempoh yang sama, 9,700 kes HIV dilaporkan dan 3,600 kes AIDS dengan 2,300 jumlah kematian direkodkan,” katanya.

Dr Rohaya berkata bagi mencapai sasaran kempen sifar jangkitan HIV di Kuala Lumpur menjelang 2020, Kementerian Kesihatan menjalankan program pencegahan dan kawalan yang memberi fokus kepada belia.

“Kita memberi tumpuan kepada golongan berisiko iaitu pengguna dadah, pekerja seks wanita, golongan homoseksual dan ‘maknyah’.

"Antara langkah yang diambil kita tekankan bahaya HIV kepada golongan remaja supaya mereka menghindari daripada terbabit dengan hubungan seks sebelum berkahwin,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rohaya menyeru golongan berisiko dijangkiti virus HIV supaya segera menjalani ujian saringan dan sekiranya disahkan positif HIV, perlu mendapatkan rawatan untuk menghentikan virus itu daripada merebak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 7:00 PM