GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Transmisi seksual kini menjadi faktor risiko utama kepada jangkitan HIV baru yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) di Wilayah Persekutuan sejak 2015 hingga tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 68 peratus jangkitan HIV baru yang dilaporkan adalah menerusi hubungan homoseksual/biseksual, manakala 26 peratus adalah menerusi hubungan heteroseksual.

"Trend kes baru HIV adalah mendatar untuk semua kategori faktor risiko. KKM sudah mengambil langkah kawalan dan pencegahan bagi mencapai matlamat Ke Arah Sifar HIV dan Mengakhiri AIDS seperti digariskan melalui beberapa siri Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengakhiri HIV/AIDS (2016 - 2030).

"(Antara lain ia) menggariskan fokus utama yang merangkumi uji dan rawat, pengukuhan pengurangan mudarat, pencegahan jangkitan ibu ke anak, dan eliminasi stigma dan diskriminasi," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, bilangan kes baru HIV di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah 3,030 kes , dengan kes baru HIV menunjukkan trend mendatar.

"Sebanyak 448 kes HIV dilaporkan pada 2015 atau pada kadar 27.8 kes bagi setiap 100 ribu penduduk, sementara bagi 2019, sebanyak 448 kes HIV baru telah dilaporkan, atau pada kadar 22.5 kes bagi setiap 100 ribu penduduk.

"Bagi 2020 dan 2021, kes baru HIV yang dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan trend penurunan yang signifikan. Namun, penurunan ini mungkin kesan kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, menyebabkan aktiviti saringan HIV tersekat," katanya.

Khairy berkata, sepanjang tempoh 2015 ke tahun lalu, 91 peratus kes baru HIV adalah daripada kategori usia 20 hingga 49 tahun; 45 peratus (20 hingga 29); 33 peratus ( 30-39) dan 13 peratus (umur 40-49), tiga peratus (kurang dari 20 tahun) dan enam peratus kes baru berumur 50 tahun ke atas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 12:38 PM