BERNAMA

SEBANYAK 108,519 kes jangkitan HIV dan AIDS direkodkan di negara ini sejak 1986 hingga tahun lalu, dengan Selangor mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 26 peratus daripada jumlah kumulatif terbabit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata aktiviti seks rambang membabitkan seks sejenis dikenal pasti punca kepada kes baru jangkitan HIV dan AIDS di negara ini.

“Dulu penyakit AIDS berjangkit majoriti menerusi perkongsian jarum. Kami dah buat program pemberian jarum percuma kepada mereka yang berisiko melalui pelbagai cara. Hari ini terbalik, banyak kes baru HIV dan AIDS akibat seks rambang.

“Seks rambang antara lelaki dan perempuan serta seks rambang antara lelaki dengan lelaki. Yang ni pun berlaku banyak.

“Apa yang mengejutkan banyak kes seks rambang antara lelaki dengan lelaki ini membabitkan mereka dalam bidang profesional," katanya selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia 2017 peringkat negeri Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kumulatif itu, 62.68 peratus adalah pengguna dadah yang berkongsi jarum suntikan manakala 27.96 peratus, hubungan seksual manakala selebihnya jangkitan daripada ibu kepada anak.

Dr Hilmi berkata, kaum lelaki menyumbang 88 peratus daripada keseluruhan kes, wanita (11 peratus) dan kanak-kanak (satu peratus).

“Situasi ini menunjukkan HIV dan AIDS masih menjadi antara penyakit yang mendatangkan ancaman kepada penduduk di negara ini.

“Daripada aspek transmisi pula, hubungan seks dan penagihan dadah punca utama jangkitan, maknanya kedua-dua masalah sosial ini adalah gejala sosial utama yang perlu dibendung," katanya.

Bagaimanapun, Dr Hilmi berkata kadar jangkitan HIV dan AIDS di negara ini menunjukkan penurunan tahun lalu, iaitu daripada 28 kes kepada 10.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk dengan 3,000 kes baharu direkodkan setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 7:04 PM