Anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) memeriksa daun ketum yang dirampas daripada seorang lelaki Thailand di Pengkalan Hulu. - Foto IHSAN AKSEM
Anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) memeriksa daun ketum yang dirampas daripada seorang lelaki Thailand di Pengkalan Hulu. - Foto IHSAN AKSEM
D J Dolasoh

LELAKI warga Thailand ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas pemeriksaan menemui 368 bungkusan plastik berisi daun ketum seberat 43 kilogram bernilai RM5,160 di belakang kenderaan dinaikinya.

Dalam kejadian 2 petang itu, suspek berusia 43 tahun memandu kenderaan jenis Ford Escape Duratec bernombor pendaftaran Thailand, ditahan AKSEM dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu di sekatan jalan raya di Kilometer 4.5, Jalan Pengkalan Hulu-Betong, Pengkalan Hulu.

Komander AKSEM Perak Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, suspek yang memandu seorang diri ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan menemui daun ketum yang disembunyikan di bahagian belakang kenderaan.

“Suspek mengaku membeli bekalan daun ketum itu di Kedah selepas memasuki negara ini semalam untuk dibawa pulang ke kampungnya di Pattani atas permintaan pelanggannya.

“Suspek kini ditahan di lokap IPD Pengkalan Hulu dan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 11:12 PM