Anggota AKSEM Perak merampas daun ketum daripada tiga suspek di Pengkalan Hulu, hari ini. FOTO DJ Dolasoh
Anggota AKSEM Perak merampas daun ketum daripada tiga suspek di Pengkalan Hulu, hari ini. FOTO DJ Dolasoh
DJ Dolasoh


Pengkalan Hulu: Wanita bersama suami dan abang, ketiga-tiganya warga Thailand ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas dipercayai cuba membawa keluar 55 kilogram daun ketum dalam sekatan di kilometer 4.5 Jalan Pengakalan Hulu-Betong, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga suspek dalam perjalanan pulang menaiki pacuan empat roda itu ditahan sebelum pemeriksaan menemui 560 bungkusan daun ketum yang diikat seperti daun sirih di bahagian bawah ruang simpanan belakang kenderaan berkenaan.

Komander AKSEM Perak Asisten Suprintendan Kasturi Othman berkata, ketiga-tiga suspek berusia 42 hingga 50 tahun itu pada mulanya tidak mengaku membawa sebarang bahan terlarang sebelum anggota menemui barang berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga mereka kemudiannya memberikan alasan ingin menjual daun ketum itu untuk mendapatkan wang bagi mengubati ibu mereka yang sakit di Thailand.

"Ketiga-tiga suspek dari Songkhla, Thailand itu mengaku membeli 55 kg daun berkenaan di Kuala Ketil, Kedah dengan harga RM30 sekilogram dan akan dijual pada harga RM100 kerana mendapat pasaran tinggi di sana.

"Mereka kemudiannya ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Pengkalan Hulu untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 6:22 PM