Penguat kuasa Jabatan Imigresen Tawau menjalankan pemeriksaan di premis pusat kecantikan di Jalan Dunlop, Tawau. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen
Penguat kuasa Jabatan Imigresen Tawau menjalankan pemeriksaan di premis pusat kecantikan di Jalan Dunlop, Tawau. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen
Nasrawati Syarifuddin


ENAM warga Indonesia termasuk empat wanita diberkas dalam Op Gegar dan Dandan Jabatan Imigresen di dua premis berasingan di Tawau, semalam.

Ketua Jabatan Imigresen Tawau, Noraini Rasi berkata, operasi yang bermula kira-kira 3 petang dengan kekuatan 13 anggota penguat kuasa itu menyerbu sebuah premis kecantikan di Jalan Dunlop.

"Ketika penguat kuasa menghampiri premis itu, dua wanita yang berada di luar premis cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

"Seorang lagi wanita yang berada di dalam premis itu turut ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka warga Indonesia dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noraini berkata, serbuan seterusnya dilakukan di sebuah premis snuker di kawasan yang sama.

"Pemeriksaan lanjut terhadap pusat snuker mendapati dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Semua yang ditahan berusia 21 hingga 51 tahun dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 11:40 AM