(Kiri) Status akaun FB Azizi yang mendakwa tiada staf bertugas di Hospital Yan ketika dia menerima rawatan sehingga tular sebelum mohon maaf (kanan).
(Kiri) Status akaun FB Azizi yang mendakwa tiada staf bertugas di Hospital Yan ketika dia menerima rawatan sehingga tular sebelum mohon maaf (kanan).
Nur Syazwana Mansor


JABATAN Kesihatan Negeri Kedah menafikan dakwaan seorang lelaki yang menggunakan akaun Facebook (FB) Azizi Arsat kononnya tiada staf bertugas di Unit Kecemasan Hospital Yan sehingga menyebabkan dia terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, siasatan segera yang dijalankan oleh pihaknya mendapati dakwaan berkenaan adalah tidak benar kerana pada hari kejadian semalam, pesakit menjalani saringan pada jam 3.50 pagi dan dikategorikan sebagai kes zon hijau iaitu kes tidak kritikal.

Menurutnya, masa menunggu untuk kes hijau adalah selama 90 minit dan pengadu diberikan perawatan awal pada jam 4.30 pagi oleh penolong pegawai perubatan (PPP).

Katanya, kemudian kes dirujuk untuk rawatan lanjut oleh pegawai perubatan dan dirawat pada jam 5 pagi setelah pegawai perubatan selesai memberi rawatan kecemasan kepada dua kes di zon merah iaitu kes kritikal.

“Dakwaan tiada staf bertugas sehingga menimbulkan persoalan ‘tidoq ka’ adalah tidak benar dan tidak wajar.

“Dalam keadaan terdapat kes kecemasan yang dirawat tambahan pula membabitkan dua kes pada satu masa di hospital daerah maka semua ahli pasukan bekerja bertungkus lumus untuk menyelamat nyawa kes kritikal di zon merah.

“Oleh itu staf akan bertugas di ruang yang tidak dapat dilihat oleh pesakit yang menunggu di ruang menunggu bagi kes hijau,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Norhizan berkata, pihak hospital masih berusaha untuk menghubungi pengadu untuk menjelaskan keadaan sebenar.

“Pihak kami berharap pengadu dapat menghubungi Pengarah Hospital Yan Dr Mithali Abdullah di talian 04-4655333 untuk penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mithali Abdullah berkata, tiada kelewatan di dalam perawatan pesakit seperti yang didakwa pengadu.

“Seramai enam pesakit lain yang disaring dan didaftarkan dari jam 3.15 pagi hingga 5.37 pagi oleh petugas di kaunter pendaftaran di mana dakwaan menyatakan tiada staf bertugas juga tidak benar.

€œSeramai dua pesakit kritikal dan lima pesakit separa kritikal sedang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan pada masa yang sama si pengadu menunggu rawatan.

“Pesakit kritikal dan pesakit separa kritikal diberikan keutamaan dalam perawatan kecemasan," katanya.

Sementara itu, pemilik akaun FB Azizi Arsat dalam status terbarunya memohon maaf atas tindakannya menularkan isu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 4:49 PM