Suliati Asri


JABATAN Kecemasan dan Trauma ibarat nadi sesebuah hospital, ia tidak pernah sunyi daripada menerima pelbagai kes kemalangan atau kecederaan yang tidak terjangka keadaannya.

Sebaik saja pesakit diturunkan dari ambulans atau tiba di muka pintu, pasukan doktor, jururawat dan ahli kesihatan profesional mula mengambil tempat untuk memberikan rawatan awal yang sewajarnya serta menstabilkan pesakit.

Dalam situasi cemas dan 'kekalutan', pakar perubatan kecemasan juga akan mendiagnos pesakit sekali gus menentukan kategori kes kecemasan dan kecederaan sama ada zon hijau (tidak kritikal), kuning untuk separa kritikal ataupun merah untuk kes kritikal.

Persis dalam drama televisyen yang memperlihatkan situasi ketika berlaku sebarang kecemasan, begitu jugalah suasana yang terjadi di hospital seluruh Malaysia.

Pakar Perunding Perubatan Trauma di Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Shah Jahan Mohd Yusof berkata, jabatan ini beroperasi 24 jam dan tujuh hari seminggu kerana ia destinasi pertama bagi pesakit yang mengalami apa juga situasi kecemasan.

Katanya, sebagai jabatan yang paling sibuk dan tidak kira masa, mereka bertanggungjawab dalam melakukan penilaian awalan, perawatan, stabilisasi, penempatan pembedahan serta perubatan kecemasan.

"Sebaik saja pesakit tiba di hospital, pasukan kecemasan berpengalaman iaitu pakar perubatan kecemasan, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan kesihatan yang terlatih dalam pengurusan perubatan kecemasan akan memberi rawatan stabilisasi kepada pesakit.

"Sebagai contoh, jika berlaku kecemasan kritikal yang melibatkan pendarahan, masalah saluran pernafasan dan sebagainya, kami akan berusaha memastikan agar perkara itu diatasi secepat mungkin untuk menyelamatkan pesakit.

"Apabila perlu dan keadaan pesakit sudah stabil, barulah kes itu kemudian akan dirujuk kepada pakar dalam bidang tertentu mengikut keperluan pesakit bagi perawatan selanjutnya," katanya.

Dalam situasi yang tidak terjangka, pelbagai kebarangkalian yang boleh berlaku di jabatan itu kerana setiap kes yang diterima mempunyai tahap kesakitan dan keseriusan yang berlainan.

Justeru, dalam hal ini peranan pakar perubatan kecemasan adalah amat penting.

Dr Shah Jahan berkata, peranan pakar perubatan kecemasan ini sangat besar kerana ia membabitkan perawatan kecemasan dalam kesemua bidang perubatan sekali gus memerlukan seseorang pakar itu amat terlatih di bidang perubatan yang amat luas.

Bidang kepakaran ini menuntut kebolehan tinggi dalam mengawal serta merawat pelbagai situasi kecemasan yang boleh berlaku selain mempunyai keupayaan untuk memberikan perawatan kritikal.

"Selain menjadi ketua pasukan dalam perawatan kecemasan, kami juga bertanggungawab dalam memantau kes kes kritikal serta menentukan hala tuju perawatan demi kesinambungan kestabilan pesakit, "katanya yang sudah lebih 10 tahun menggalas tanggungjawab sebagai seorang pakar perubatan kecemasan.

Menurut Dr Shah Jahan bidang kepakaran ini juga memainkan peranan penting dalam mendiagnosis sesuatu kes bagi menentukan punca kepada gejala yang dialami pesakit.

"Dalam situasi cemas, pakar perubatan kecemasan menjadi barisan utama yang akan dilatih untuk memberikan stabilisasi kepada pesakit.

"Kami juga memainkan peranan terutama dalam memutuskan sama ada sesuatu kes itu memerlukan rawatan sebagai pesakit dalam ataupun selamat untuk menerima perawatan susulan sebagai pesakit luar," katanya.

"Pakar perubatan kecemasan juga bertanggungjawab daripada segi pengurusan jabatan, strategi untuk penambahbaikan, latihan klinikal, mempertingkatkan keupayaan kakitangan dalam melaksanakan kerja klinikal dan juga pengurusan komunikasi di dalam jabatan, sistem pengurusan dan sebagainya.

"Dalam erti kata lain, pakar perubatan kecemasan ini adalah barisan hadapan," tambahnya.

Selain peranan yang besar, bidang kepakaran ini juga memerlukan keteguhan minda dan kecekalan. Seorang pakar perubatan kecemasan tidak boleh panik ketika merawat pesakit.

Disebabkan itu, program latihan kepakaran dalam bidang perubatan ini adalah mencabar serta memerlukan seseorang yang amat berminat, komited serta tidak ramai doktor berminat atau mempunyai keteguhan mental yang sesuai dengan profesion itu.

Walaupun menyedari kesukaran itu, dia tetap memilih perubatan kecemasan sebagai bidang kepakaran dalam kerjayanya kerana mahu menyumbang khidmat dalam bidang yang dirasakan amat penting, apatah lagi ketika zamannya yang tidak ramai pakar bidang itu.

"Bidang kepakaran ini juga semakin menjadi pilihan ramai para doktor dan lebih membanggakan, kini pakar perubatan kecemasan turut mempunyai subkepakaran," tambahnya.

Di PHKL, perkhidmatan kecemasan dan trauma menyediakan penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia dan dilengkapi dengan kemudahan terkini dan terbaik bagi mengendalikan sebarang kecederaan kecemasan.

Jabatan kecemasan dan trauma PHKL juga sentiasa mengutamakan pesakit dan berusaha untuk memastikan kesihatan dan keselamatan dalam mengendalikan semua kes kritikal yang mengancam nyawa mahupun keadaan kecemasan biasa.

"Di sini, pasukan kami merawat semua jenis trauma termasuk kemalangan kenderaan motor, kemalangan industri, kemalangan setempat dan banyak lagi.

"Semua kes kecemasan boleh diterima untuk dirawat di unit Kecemasan dan Trauma PHKL.

"Seiring dengan wawasan kemakmuran negara, saya berharap tahap dan kualiti perawatan dalam bidang perubatan kecemasan akan terus meningkat. Saya juga amat berharap perkhidmatan perawatan kecemasan terus diterima dengan pantas oleh pesakit, biarlah kunjungan ke jabatan ini hanya untuk kes kes yang memerlukan sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 6:40 AM