GAMBAR petikan video tular lelaki memarahi kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Selambau.
GAMBAR petikan video tular lelaki memarahi kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Selambau.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan berlaku kelewatan dalam memberi rawatan kepada pesakit di Klinik Kesihatan Bukit Selambau, Sungai Petani, dekat sini, seperti yang ditularkan di media sosial.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pihak JKN melalui klinik kesihatan ada menyatakan dalam piagam pelanggan dengan jelas bahawa masa menunggu bagi kes baru adalah 60 minit.

Menurutnya, pihaknya kesal ia ditularkan dan tindakan pengadu mengugut dan menceroboh ke dalam bilik rawatan adalah turut dikesali.

"Siasatan mendapati pada jam lebih kurang 2 petang Khamis lalu, pengadu membawa kawannya ke klinik berkenaan di mana pesakit

didaftarkan lima minit kemudian sebelum kad pesakit dihantar ke bilik penolong pegawai perubatan unit pesakit luar.

"Pada jam2.15 petang pesakit diberi rawatan awal luka ibu jari kaki kiri dan suntikan oleh jururawat kesihatan sebelum rawatan lanjut oleh penolong pegawai perubatan unit pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Dr Norhizan berkata, pegawai perubatan dimaklumkan oleh jururawat mengenai kes dan mengarahkan untuk penolong pegawai perubatan memberi rawatan lanjut kepada pesakit kerana pegawai perubatan sedang menjalankan imbasan (ultrasound) kes ibu mengandung dan perlu membuat rujukan kes oftalmologi ke hospital.

"Jam 2.21 petang,penolong pegawai perubatan memberi rawatan lanjut kepada pesakit dan rawatan selesai lebih kurang jam 2.40 petang.

"Rakan pesakit iaitu pengadu kemudian merakam video pada jam 2.23 petang (waktu jam pengadu) dan membuat bising serta mengugut staf yang ada di kaunter pendaftaran dengan ugutan akan menularkan video itu," katanya.

Beliau berkata, pengadu turut menceroboh masuk ke semua bilik dan kaunter dengan rakaman video serta bersuara secara agresif hingga menyebabkan staf tidak berani untuk menerangkan situasi klinik pada waktu itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 4:03 PM