Dadah dirampas dalam serbuan di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh. FOTO Khairul Najib Asarullah Khan
Dadah dirampas dalam serbuan di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh. FOTO Khairul Najib Asarullah Khan
Khairul Najib Asarullah Khan


TIGA lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan dalam dua serbuan di Kebun Sawit Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Tampin, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, tangkapan pertama membabitkan dua pengedar berusia 28 dan 44 tahun selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan pada 4 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam beg dibawa menemui empat plastik lut sinar dipercayai heroin seberat 23.5 gram dan dua paket syabu seberat 7.65 gram.

"Anggaran nilai dadah dirampas ialah RM2,500 dan ujian air kencing ke atas dua suspek yang masing-masing buruh dan kelindan lori mendapati mereka positif syabu.

"Pada masa sama, polis turut menahan tiga lelaki dipercayai penagih ketika mahu membeli dadah daripada kedua-dua suspek," katanya.

Dalam pada itu, Hamazah berkata, pada 5 petang di lokasi dan hari sama, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun juga dipercayai pengedar dadah.

"Penahanan itu membolehkan polis menemui heroin seberat 17.3 gram dan syabu seberat 0.95 gram dengan nilai keseluruhannya dianggarkan RM3,000.

"Malah, suspek yang penganggur itu turut positif syabu selain mempunyai lima rekod lampau berkenaan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A, 12(2), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 3:14 PM