POLIS merampas pelbagai jenis dadah seberat setengah kilogram(kg) daripada seorang lelaki ketika mengadakan operasi di tepi Jalan Permatang Bendahari. FOTO Ihsan PDRM
POLIS merampas pelbagai jenis dadah seberat setengah kilogram(kg) daripada seorang lelaki ketika mengadakan operasi di tepi Jalan Permatang Bendahari. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Lelaki tidak sempat menikmati hasil jualan dadah apabila ditahan bersama sejumlah dadah di Jalan Permatang Bendahari, Penaga, di sini, semalam.

Penahanan dibuat kira-kira 4 petang oleh sepasukan polis apabila suspek dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan ke atas suspek berusia 43 tahun menemui pelbagai jenis dadah dalam beg galasnya.

"Polis merampas kesemua dadah antaranya heroin seberat 430 gram (g), syabu (52 g), ganja (2.3 g) dan sebiji pil erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM10,108 untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai pengedar dadah jenis heroin dan syabu di sekitar kawasan Penaga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 4:33 PM