Dua beradik yang ditahan dan antara dadah yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Dua beradik yang ditahan dan antara dadah yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Tampin: Dua beradik yang dipercayai pengedar dadah ditahan polis di hotel di daerah ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, dua lelaki berusia 22 dan 26 tahun terbabit ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di lobi hotel berkenaan, jam 11.30 malam.

"Pemeriksaan menemui lima paket plastik lutsinar berisi heroin seberat 5.76 gram (g), sepaket plastik lutsinar dan tiub penyedut minuman berisi syabu seberat 0.43 g serta dua tiub penyedut minuman berisi heroin 0.26 g.

"Malah, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah. Mereka disyaki mengedar dadah sejak enam bulan lalu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek akan direman esok mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 11:49 AM