ANTARA mayat yang ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pancung PATI. FOTO Ihsan APMM
ANTARA mayat yang ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pancung PATI. FOTO Ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein


SATU lagi mayat wanita mangsa bot pancung pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di Tanjung Punggai, Pengerang, ditemui semalam.

Mayat itu ditemui oleh bot nelayan di perairan Pulau Tinggi, Mersing, kira-kira 4 petang.

Hari ini masuk hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pancung PATI itu yang dijalankan sejak Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Sanifah Yusof berkata, operasi SAR hari ini diteruskan dengan keluasan pencarian 900 batu nautika dari perairan Pulau Bedar hingga ke perairan Tanjung Penyusup.

"Operasi SAR hari ini membabitkan lapan aset laut dengan kekuatan 150 orang.

"Hari ini, operasi membabitkan anggota Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) dan Angakatn Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Selain di laut, operasi SAR turut dilakukan di pesisir pantai berdekatan lokasi kejadian," katanya.

Sanifah berkata, berdasarkan penemuan mayat sehingga semalam, jumlah keseluruhan mangsa dijumpai adalah sebanyak 35 orang yang mana 25 daripadanya hidup termasuk seorang wanita.

Katanya, enam lelaki dan empat wanita ditemui meninggal dunia dengan sembilan lagi mangsa dipercayai masih hilang.

Berita berkaitan

Seorang lemas, 18 masih hilang tragedi bot terbalik [METROTV]

Lima lagi mangsa bot pancung ditemui

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 2:40 PM