MAYAT mangsa yang ditemui pada 3.30 petang semalam. FOTO Ihsan Maritim.
MAYAT mangsa yang ditemui pada 3.30 petang semalam. FOTO Ihsan Maritim.
Izlaily Nurul Ain Hussein


MAYAT ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di Pulau Kukup, Pontian, petang semalam disahkan kru kapal tunda yang jatuh di perairan itu, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat itu ditemui pada 3.30 petang oleh kapal tunda TB Sinaran Emas yang kebetulan melalui kawasan terletak tujuh batu nautika barat laut Pulau Kukup.

“Kita menerima makluman penemuan satu mayat di lokasi itu dan bot Maritim Malaysia dikerah ke lokasi.

“Bot Maritim selamat tiba di jeti Maritim Sungai Pulai, Iskandar Puteri pada 7.30 malam, membawa mayat mangsa yang kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya yang kemudian menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, pengesahan awal terhadap mangsa dibuat berdasarkan baju pada mayat yang sama seperti maklumat diperoleh daripada pihak syarikat.

“Namun, pengesahan lanjut akan diuruskan dengan pihak syarikat di hospital kelak,” katanya.

Maritim mengaktifkan SAR pada 2.30 petang Isnin bagi mencari lelaki Indonesia yang juga jurutera kapal tunda yang hilang ketika pelayaran dari Kuala Linggi, Melaka menuju ke Singapura.

SAR diaktifkan selepas menerima laporan kehilangan daripada Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Singapura (MRCC Singapore).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 3:56 PM