Abang yang cedera ditetak di lengan oleh lelaki kurang siuman yang mengamuk dengan parang (gambar kanan) di Kampung Muhibbah Fasa 2, Sungai Siput, hari ini. - Foto Ihsan PDRM
Abang yang cedera ditetak di lengan oleh lelaki kurang siuman yang mengamuk dengan parang (gambar kanan) di Kampung Muhibbah Fasa 2, Sungai Siput, hari ini. - Foto Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


POLIS menggunakan pistol renjatan terhadap seorang lelaki kurang siuman yang bertindak ganas, termasuk mencederakan abang serta mengugut ibunya menggunakan parang di Kampung Muhibbah Fasa 2, Sungai Siput, Perak, hari ini.

Kejadian bermula 12 tengah hari selepas polis mendapat maklumat mengenai seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai kurang siuman, mengamuk dan mencederakan orang lain.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, berikutan itu, Ketua Balai Polis Sungai Siput Utara, Inspektor Wan Mohd Zakirudin Arifin bersama tujuh anggota pergi ke tempat kejadian.

“Mereka mendapati seorang lelaki yang kemudian dikenal pasti mempunyai rekod kurang siuman, berdiri di depan rumah dengan tangan kanan memegang parang berukuran kira-kira 0.4 meter.

"Polis cuba memujuk lelaki itu selama kira-kira sejam namun dia tetap berdegil, malah semakin agresif mahu menyerang anggota polis serta mengugut mencederakan ibunya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati sebelum polis sampai, lelaki berkenaan sudah menetak tangan abangnya berusia 43 tahun dan menerima rawatan awal di Hospital Sungai Siput sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjuta.

"Arahan menggunakan senjata renjatan untuk menangkap lelaki terbabit kemudian diberikan.

"Selepas amaran tiga kali tidak dipatuhi dan lelaki itu cuba menyerang polis, tembakan dilepaskan ke arah lelaki berkenaan dalam jarak kira-kira lima meter sebelum dia ditahan.

“Lelaki itu cedera ringan akibat terjatuh dan dirawat di Hospital Sungai Siput sebelum dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 9:03 PM