Muhammad Apendy Issahak


LEBIH ramai individu termasuk pegawai di Kementerian Sumber Manusia mungkin dipanggil untuk memberi keterangan kes penyelewengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bernilai RM40 juta.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, setakat ini enam individu sudah diambil keterangan berhubung isu terbabit dengan terbaru memberi keterangan pada hari ini ialah menteri.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut diambil termasuk pendakwaan.

"Pagi tadi SPRM sudah panggil menteri untuk beri keterangan dan sebelum ini setiausaha politik juga ditahan serta direman bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Menteri berkenaan setakat hari ini hanya dipanggil untuk memberi keterangan dan tidak ditahan, mungkin jika ada keperluan akan dipanggil semula untuk membantu siasatan lagi.

"Jika ada keperluan juga, lebih ramai akan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk pegawai dari kementerian sama untuk SPRM melengkapkan kertas siasatan," katanya kepada media selepas Program Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR '17) Sempena Ulangtahun BPR/SPRM Ke-50 di Pejabat SPRM Perak di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat berdasarkan maklumat awam yang diperoleh selain risikan yang dibuat SPRM sendiri.

Harian Metro hari ini melaporkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 10.03 pagi hari ini dipercayai bagi memberi keterangan berhubung isu penyelewengan PTPK.

Semalam, setiausaha politik menteri direman enam hari bagi membantu siasatan penyelewengan dana kerajaan RM40 juta untuk PTPK.

Pada 14 September lalu, empat individu termasuk Ketua Eksekutif PTPK bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan.

Berita berkaitan

'Richard Riot beri keterangan'

Setiausaha politik menteri direman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 7:30 PM