Siti A'isyah Sukaimi


EMPAT individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Suspek membabitkan Ketua Eksekutif PTPK berusia 58 tahun, Setiausaha PTPK, 34, Penolong Pegawai Kewangan PTPK, 32 dan seorang pengarah sebuah syarikat mempunyai gelaran Dr.

Perintah tahanan reman terhadap semua suspek dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab sehingga 19 September ini.

Mereka ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur antara jam 4.30 petang hingga 6 petang, semalam dalam satu operasi dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber dipetik berkata, ketiga-tiga pegawai PTPK itu dipercayai bersubahat dengan pengarah syarikat berusia 38 tahun untuk menyeleweng wang diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan bagi mengendalikan program latihan kemahiran kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Katanya, berdasarkan maklumat awal diperolehi, keempat-empat suspek dipercayai menyeleweng hampir RM40 juta pada tahun 2016 dan 2017.

Selain itu, dua individu membabitkan bekas eksekutif syarikat cari gali minyak berusia 40 tahun dan suami kepada pengarah wanita syarikat kontraktor berusia 54 tahun dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM50,0000.

Mereka sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes mengemukakan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) untuk satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:23 PM
Empat individu direman disyaki menyeleweng dana hampir RM40 juta. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Empat individu direman disyaki menyeleweng dana hampir RM40 juta. FOTO Mohd Fadli Hamzah