Empat individu termasuk seorang bergelar Datuk dipercayai menyeleweng hampir RM40 juta ditahan SPRM hari ini.
Empat individu termasuk seorang bergelar Datuk dipercayai menyeleweng hampir RM40 juta ditahan SPRM hari ini.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk seorang bergelar Datuk di beberapa lokasi di Kuala Lumpur hari ini selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan wang peruntukan disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Sumber berkata, mereka yang ditahan terdiri Ketua Eksekutif PTPK berusia 58 tahun, Setiausaha PTPK, 34, Penolong Pegawai Kewangan PTPK, 32 dan seorang pengarah sebuah syarikat mempunyai gelaran Dr.

Katanya, semua mereka ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur antara 4.30 petang hingga 6 petang dalam satu operasi dilancarkan oleh SPRM.

Menurut sumber itu, ketiga-tiga pegawai PTPK itu dipercayai bersubahat dengan pengarah syarikat berusia 38 tahun itu untuk menyeleweng wang diperuntukkan oleh kerajaan untuk mengendalikan program latihan kemahiran kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

"Maklumat awal diperoleh, keempat-empat mereka dipercayai menyeleweng hampir RM40 juta pada 2016 dan 2017.

" Pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM35 juta manakala RM 40 juta pada tahun ini untuk mengendalikan program latihan, " katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pada 2016, mereka menyeleweng sebanyak RM15 juta dan RM25 juta pada tahun ini.

Katanya, ketiga-tiga pegawai itu juga berpakat dengan pengarah syarikat itu dan meluluskan 15 syarikat miliknya untuk mengendalikan program berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata pihaknya mendapatkan dokumen membabitkan penyelewengan itu.

Beliau juga berkata pihaknya akan memanggil saksi untuk mengambil keterangan dalam masa terdekat dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan ditangkap untuk membantu siasatan.

“ Kita akan menyiasat kes ini secara terperinci dan mengenalpasti saksi yang perlu dipanggil untuk tampil membantu siasatan dalam masa terdekat,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 9:28 PM