Hayati Ibrahim


SETIAUSAHA politik kepada menteri direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang peruntukan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berjumlah RM40 juta.

Perintah reman bermula hari ini hingga 3 Oktober itu dikeluarkan oleh Majistret Azizah Ahmad di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat suspek.

Lelaki berusia 61 tahun bergelar Datuk itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu suspek tiba di mahkamah jam 9.45 pagi diiringi pegawai SPRM dengan memakai baju lokap berwarna jingga dan bergari.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang lagi 'orang besar' ditahan SPRM bagi membantu siasatan penyelewengan dana RM40 juta yang disalurkan kepada PTPK.

Individu itu adalah setiausaha politik kepada anggota Kabinet, dan ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di putrajaya.

Dia individu kelima yang ditahan selepas empat individu berusia 32 hingga 58 tahun termasuk Ketua Pegawai Eksekutif bergelar Datuk yang ditahan pada 13 September lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan tiga pegawai PTPK itu dan seorang pengarah syarikat bergelar doktor ditahan selepas disyaki terbabit menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng wang peruntukan program latihan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Berdasarkan maklumat awal, keempat-empat mereka dipercayai menyeleweng hampir RM40 juta pada tahun 2016 dan 2017.

Pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM35 juta dan RM 40 juta pada tahun ini untuk mengendalikan program latihan.

Keempat-empat mereka direman masing-masing selama sembilan dan lapan hari sebelum dilepaskan dengan jaminan pada Jumaat serta Khamis minggu lalu.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang bekas pegawai bank berusia 54 tahun direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan isu pemilikan tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol.

Selain itu, perintah reman dua beradik bergelar Datuk yang juga ketua eksekutif syarikat berbeza dilanjutkan empat hari lagi bermula esok bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 4:47 PM
Setiausaha Politik ini direman bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana RM40 juta. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Setiausaha Politik ini direman bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana RM40 juta. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor