Noor Rashid ketika sidang media di IPD Kunak. (Gambar kecil) Senjata yang ditemui dalam bot penjenayah. FOTO Rahemang Taiming
Noor Rashid ketika sidang media di IPD Kunak. (Gambar kecil) Senjata yang ditemui dalam bot penjenayah. FOTO Rahemang Taiming
Norasikin Daineh


SEORANG penjenayah maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di perairan Pulau Burung, Kunak, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, penjenayah itu disyaki terbabit dalam kejadian rompakan di perairan Kunak dan Semporna.

"Pada 2.30 pagi di Pulau Burung, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak yang diketuai Ketua Polis Daerah Kunak bersama empat anggota ke laut menggunakan bot samaran untuk membuat tinjauan berdasarkan maklumat diterima.

"Sebuah bot dilihat di kawasan rondaan dan anggota kita menghampirinya untuk pemeriksaan namun bot itu memecut laju. Ketika melarikan diri, suspek melepaskan satu das tembakan ke arah polis, menyebabkan pasukan rondaan bertindak balas sehingga berlaku insiden berbalas tembakan," katanya dalam sidang media, di IPD Kunak, hari ini.

Noor Rashid berkata, pemeriksaan dibuat terhadap bot itu dan mendapati seorang lelaki terkena tembakan di dada sebelum disahkan meninggal dunia.

"Polis memeriksa bot itu dan menemui revolver, tiga peluru dan satu kelongsong bersama satu pedang samurai.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek adalah Masurati atau dikenali Tarab," katanya.

Katanya, polis mengenali suspek dan dia dikehendaki untuk membantu siasatan beberapa kes termasuk samun nelayan di laut.

Hasil daripada maklumat, suspek adalah salah seorang yang terbabit dalam kumpulan culik untuk wang tebusan (KFR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 4:42 PM