LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Norasikin Daineh


POLIS masih menyiasat insiden tembakan membabitkan bot Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di perairan Pulau Bohey Dulang di Semporna, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, belum ada perkembangan terbaru berhubung insiden itu dan masih dalam siasatan polis.

“Setakat ini belum ada perkembangan terbaru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 3.40 petang semalam, pasukan penguatkuasaan Pejabat JKDM Lahad Datu membuat risikan terhadap maklumat penyeludupan minyak di perairan Semporna, berhampiran perairan Pulau Bohey Dulang.

Pasukan JKDM melihat sebuah bot laju memecut keluar dari pulau itu dan bertindak memintas bot suspek.

Dalam tempoh 10 hingga 15 minit bot pemintas mengejar bot laju suspek dan dalam jarak 200 meter bot suspek berhenti sebelum melepaskan tembakan ke arah bot pemintas.

Pihak JKDM kemudian turut melepaskan tembakan balas terhadap bot suspek dan apabila tembakan itu dibalas, bot suspek terus memecut laju ke arah perairan antarabangsa Filipina.

Berita berkaitan

Berbalas 50 das tembakan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 3:48 PM