DUA kakitangan Taman Ular dan Reptilia Perlis memindahkan ular apabila kawasan taman berkenaan dinaiki air. FOTO ihsan Mohd Hafiz Alias
DUA kakitangan Taman Ular dan Reptilia Perlis memindahkan ular apabila kawasan taman berkenaan dinaiki air. FOTO ihsan Mohd Hafiz Alias
Muhammad Mustakim Ramli


DUA PULUH ular pelbagai spesies termasuk ular tedung selar terpaksa dipindahkan ke tempat selamat apabila Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat, Kangar dilanda banjir kilat hari ini.

Kakitangan Taman Ular dan Reptilia, Mohd Hafiz Alias, 27, berkata, air banjir setinggi 0.5 meter itu menyebabkan beberapa sangkar yang menempatkan ular pelbagai spesis itu ditenggelami air.

Beliau berkata, beliau bersama lima rakan bertungkus-lumus memindahkan 20 ular berkenaan ke tempat selamat.

"Ada kawasan dalam taman ini air setinggi paras paha, ada setinggi paras dada. Jadi kami perlu ubah ke sangkar lain yang tidak ditenggelami air.

“Ini bukan kali pertama kami memindahkan ular dalam situasi banjir. Kali terakhir kira-kira dua tahun yang lalu” katanya ketika dihubungi.

Hafiz berkata, kerja menyelamat membabitkan empat kakitangan lelaki dan dua kakitangan wanita itu dilakukan sekitar 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kami sudah biasa bermain dengan ular, jadi untuk memindahnya tidaklah sukar.

“Walaupun kami dengan ular di sini ibarat saling mengenali, kami masih lagi berhati-hati dalam menjalankan tugas,” katanya yang turut memaklumkan antara ular yang dipindah adalah sawa dan tedung selar.

Sementara itu, gambar Hafiz bersama lima rakannya itu viral di media sosial selepas gambar yang dimuatnaik di Facebook miliknya itu dikongsi netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 1:29 AM