Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


Pasir Puteh: Tiga 'king cobra' sepanjang lebih satu meter dengan berat antara tujuh hingga 10 kilogram ditangkap minggu lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, tangkapan dibuat pada 19 dan 22 November lalu di dalam kediaman penduduk sebaik musim tengkujuh tiba.

Katanya, reptilia ini masuk ke dalam kediaman penduduk kerana habitat asal ular berbisa itu di kawasan lembah dan hutan ditenggelami air.

"Ular pertama dijumpai di dalam rak kasut di Kampung Chengal Pulas, Gaal pada 19 November, manakala dua lagi kes ditangkap pada 22 November di Kampung Wakaf Lanas, Sri Aman dan Kampung Bukit Merbau di bahagian dapur.

"Bagi mengelakkan haiwan berbisa ini memasuki kediaman, saya nasihatkan supaya susun atur rumah diperkemas, kerana reptilia ini suka tinggal di kawasan berselerak," katanya ketika ditemui di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang musim tengkujuh ini, pihaknya berjaya menangkap 11 ular termasuk tiga 'king cobra' berkenaan.

Katanya, selebihnya adalah ular sawa dan tedung (Common Cobra) yang juga suka memasuki kediaman ketika musim banjir.

"Ular biasanya 'mengunjungi' rumah apabila musim tengkujuh dan kemarau, kita kesan bila musim hujan berterusan atau panas berpanjangan, aduan kehadiran ular dalam kediaman adalah lebih tinggi," katanya.

Katanya, sejak Januari hingga kini, APM Pasir Puteh menangkap 63 ular, dengan 16 daripadanya adalah spesis 'king cobra'.

"Kami mempunyai 27 anggota yang mempunyai sijil pengendalian haiwan berbisa yang diiktiraf APM dan Taman Ular," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 2:37 PM
Dua ekor ular berbisa spesis tedung selar atau nama saintifiknya, King Cobra yang ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika musim tengkujuh di Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Dua ekor ular berbisa spesis tedung selar atau nama saintifiknya, King Cobra yang ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika musim tengkujuh di Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias