ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap di Kampung Surau Haji Kadir. FOTO Ihsan Pembaca.
ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap di Kampung Surau Haji Kadir. FOTO Ihsan Pembaca.
Zatul Iffah Zolkiply


SURI rumah nyaris dipatuk seekor ular tedung selar yang menyorok di bawah kerusi di Kampung Surau Haji Kadir, Kuala Terengganu, semalam.

Kehadiran reptilia sepanjang 4 meter itu disedari Ghaihani Awang, 59, pada 8 malam ketika berada di ruang tamu rumahnya.

Ghaihani berkata, dia yang sedang berehat terdengar bunyi dari bawah kerusi namun mengabaikan kerana menyangka kucing peliharaannya.

“Memang ada dengar bunyi tetapi mak cik ingat bunyi kucing tetapi bila tarik kotak, nampak ada benda bergerak-gerak.

“Apabila diperhatikan, benda yang bergerak itu adalah ular sebelum mak cik menghubungi sepupu bagi mendapatkan bantuan.

“Sudah dua kali rumah dimasuki ular namun mak cik bersyukur kerana tidak dipatuk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Skuad Prebet (PA) Muhammad Johari Mohd Noor berkata, seramai enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk menangkap reptilia itu.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan haiwan berbisa seperti ular kerana reptilia ini akan mencari kawasan sejuk seperti tandas dan bilik air.

“Sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, hampir 200 ular dengan kebanyakan daripada spesis ular tedung dan ular sawa ditangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:10 PM