Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Perubahan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini mengundang kehadiran ular yang keluar dari habitatnya untuk mendapatkan perlindungan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, dalam tempoh sebulan ini, anggotanya berjaya menangkap 59 ekor ular pelbagai spesies yang memasuki kediaman penduduk di daerah ini.

Beliau berkata, antara spesies yang paling banyak adalah ular sawa, tedung selar dan tedung senduk.

"Tangkapan terbaru membabitkan seekor ular tedung selar sepanjang hampir empat meter di sebuah rumah penduduk di Taman Sepilai, dekat sini, semalam.

"Ular tedung selar seberat 10 kilogram (kg) itu berjaya ditangkap anggota kami menggunakan peralatan khas walaupun reptilia itu bertindak agresif," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Amirul Aliff berkata, ular tedung selar itu kemudian dibawa ke pejabat APM Kulim untuk disimpan sementara waktu, sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

ANGGOTA APM Kulim menunjukkan ular tedung selar sepanjang hampir empat meter yang ditangkap, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA APM Kulim menunjukkan ular tedung selar sepanjang hampir empat meter yang ditangkap, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata, ular biasanya akan mencari tempat yang lembap dan sejuk untuk berteduh dan selalunya reptilia ini akan bersembunyi di bilik air, tandas, alang rumah, bawah katil, dapur atau bawah kusyen.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memukul ular yang memasuki kediaman mereka kerana bimbang ia boleh mengancam keselamatan mereka," katanya.

Beliau berkata, ular akan menyerang sekiranya merasakan ia terancam dan boleh mengakibatkan luka atau kehilangan nyawa sekiranya dipatuk.

"Sebaiknya, hubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan kerana anggota kami sudah dilatih dan berkemahiran untuk menangkap ular.

"Sepanjang awal tahun sehingga sekarang, lebih 300 ular pelbagai spesies berjaya ditangkap anggota APM Kulim kerana daerah ini mempunyai banyak kawasan hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 9:41 AM