PENDAKI Ekspedisi Hari Merdeka ke Kem Induk K2, Pakistan  disambut ahli keluarga  di KLIA, semalam.
PENDAKI Ekspedisi Hari Merdeka ke Kem Induk K2, Pakistan disambut ahli keluarga di KLIA, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: “Faktor jantina bukan masalah untuk turut serta dengan pendaki lain sehingga berjaya tiba ke destinasi,” kata Zuraila Abd Jalal, 35, seorang daripada 10 pendaki yang menyertai Ekspedisi Merdeka Day ke Kem Induk K2, Pakistan.

Ekspedisi berkenaan dianjurkan Malaysian Backpackers (MBP) bermula 26 Ogos lalu dan pendaki selamat tiba ke Kem Induk Gunung K2 pada 2 September seterusnya berjaya menamatkan misi berkenaan pada 10 September lalu.

Malah, rekod Taman Negara Karakoram Sentral dengan 10 pendaki terbabit melakar sejarah baru sebagai kumpulan pertama dari Malaysia, manakala Zuraila sebagai wanita Islam pertama dari Malaysia menakluki laluan berkenaan dan wartawan Harian Metro, Hafiz Ithnin sebagai wartawan pertama Malaysia membuat laporan aktiviti pendakian di kem induk yang penuh mencabar itu.

Berkongsi pengalamannya, Zuraila yang juga perunding dan penilai hartanah berkata, tidak tergambar perasaan syukur dan gembira tatkala berjaya menjejakkan kaki ke Kem Induk K2, Pakistan berikutan cabaran berat dihadapi semua pendaki.

“Kami berdoa supaya dipermudahkan Allah untuk ke destinasi yang dituju dan dua hari sebelum tiba ke sana, kelihatan keadaan langit malam itu agak jelas.

“Bagaimanapun, sebelum kumpulan pendakian kami, ada dua pasukan ekspedisi lain termasuk dari Jepun cuba untuk ke sana namun tidak berjaya kerana keadaan salji yang terlalu tebal selain berisiko,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Zuraila berkata, untuk tiba ke kem induk berkenaan, mereka perlu menggunakan tali dengan mengikat antara satu sama lain serta berjalan melalui salji tebal selain glasiar yang berbahaya.

“Hendak berpatah semula, tidak boleh kerana terlampau bahaya dan berisiko tinggi, malah boleh dikatakan menempah maut.

“Kami meneruskan perjalanan dan sebaik tiba, saya memang tidak dapat menahan air mata kerana berjaya mengharungi cabaran ini. Alhamdulillah syukur kepada Allah,” katanya.

Selain Zulaira dan Hafiz, lapan pendaki lain ialah Nor Afende Aminudin merangkap Ketua Ekspedisi, Mohd Izzat Mohd Zin, seorang wakil dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Khairul Nizam Minhat, Maznah Baba, Mohammad Rafie Sabarshah, Mohd Eddy Mohamadin, Muhammad Azham Ab Hamid dan Muhamad Hakim Mat Daud.

Dalam pada itu, Nor Afende berkata, antara kenangan manis sepanjang menyertai ekspedisi berkenaan ialah mereka berpeluang menyempurnakan ibadah korban di ketinggian 4,800 meter dari paras laut sewaktu di Kem Concordia iaitu kem kedua terakhir sebelum Kem Induk K2.

Katanya, daging kambing berkenaan diagihkan kepada pendaki, kru beragama Islam serta tentera yang bertugas di kem di sana.

Kem Induk Gunung K2 yang terletak di Banjaran Karakoram, Pakistan adalah laluan paling mencabar dunia memerlukan tempoh perjalanan antara 15 hingga 17 hari, berketinggian 5,100 meter dari aras laut serta merekodkan lebih 230 kilometer perjalanan keseluruhan memerlukan pendaki mendaki antara lapan sehingga 10 jam sehari.

Pada awal misi Ekspedisi Merdeka Day, kumpulan pendaki dijadualkan untuk merentasi Banjaran Gondorogo-La berketinggian 5,890 meter, namun terpaksa dibatalkan berikutan runtuhan salji.

Mereka kemudian tiba ke Kem Induk Gunung K2, jam 1 tengah hari 2 September lalu selepas berdepan ribut salji selama dua hari di kem terakhir iaitu di Kem Concordia pada ketinggian 4,800 meter.

Selain mengharungi cuaca buruk ketika perjalanan ke Kem Induk K2, peserta pendakian perlu merentasi Glacier Baltoro sejauh 63 kilometer dan bermalam di atas glacier kedua terpanjang dunia itu selama tujuh hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 11:05 AM