Hafiz Ithnin dari Skardu dan Pakistan


SEPULUH pendaki Ekspedisi Merdeka Day ke Kem Induk K2, Pakistan selamat menamatkan ekspedisi berkenaan, semalam selepas 16 hari menempuhi pelbagai cabaran pendakian sejak 26 Ogos lalu.

Ekspedisi Merdeka Day yang dianjurkan Malaysian Backpackers (MBP) pada asalnya dijadualkan hanya dapat menamatkan pendakian selama 17 hari, namun ia dapat diakhiri sehari lebih awal.

Malah, rekod Taman Negara Karakoram Sentral (CKNP) dengan sepuluh pendaki Ekspedisi Merdeka Day itu melakar sejarah baru sebagai kumpulan pertama dari Malaysia; manakala Zuraila Abd Jalal sebagai wanita Islam pertama dari Malaysia yang menakluki laluan berkenaan; dan wartawan Harian Metro, Hafiz Ithnin sebagai wartawan pertama Malaysia yang membuat laporan aktiviti pendakian di kem induk yang penuh cabaran berkenaan.

Ketua Ekspedisi Nor Afende Aminudin berkata, kumpulan pendaki Ekspedisi Merdeka Day tiba ke Kem Induk Gunung K2 pada satu petang 2 September lalu selepas berdepan dengan ribut salji selama dua hari di kem terakhir iaitu di Kem Concordia pada ketinggian 4,800 meter.

Beliau berkata, selain berdepan dengan cuaca buruk ketika perjalanan ke Kem Induk K2, peserta pendakian turut perlu merentasi Glacier Baltoro sejauh 63 kilometer dan bermalam di atas glacier kedua terpanjang dunia itu selama tujuh hari.

"Sepanjang ekspedisi ini berlangsung kami juga menyambut Kemerdekaan Malaysia ke-60 di Kem Urdukas, 4,300 meter dan melaksanakan ibadah korban yang pertama di Kem Concordia masing-masing pada 31 Ogos dan 3 September lalu.

"Paling mencabar selain berdepan ribut salji adalah perjalanan merentasi Glacier Baltoro kerana ia mempunyai bentuk muka bumi yang berpasir serta terdapat banyak bongkahan ais berbentuk kolam. Kami melalui glacier ini sejak hari keempat pendakian," katanya di sini, hari ini.

Tujuh pendaki lain yang menyertai ekspedisi berkenaan ialah Mohd Izzat Mohd Zin, Maznah Baba, Mohammad Rafie Sabarshah, Mohd Eddy Mohamadin, Muhammad Azham Ab Hamid, Muhamad Hakim Mat Daud serta wakil dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Khairul Nizam Minhat

Kem Induk Gunung K2 yang terletak di Banjaran Karakoram, Pakistan adalah laluan paling mencabar dunia yang memerlukan tempoh perjalanan antara 15 hingga 17 hari, berketinggian 5,100 meter dari aras laut serta merekodkan lebih 230 kilometer perjalanan keseluruhan yang memerlukan pendaki mendaki antara lapan sehingga 10 jam sehari.

Di awal misi Ekspedisi Merdeka Day, kumpulan pendaki dijadualkan untuk merentasi Banjaran Gondorogo- La berketinggian 5,890 meter, namun ia terpaksa dibatalkan berikutan terdapat runtuhan salji yang menutupi sebahagian besar laluan perjalanan serta boleh membahayakan nyawa.

Afende berkata, meskipun ekspedisi pendakian itu dilaksanakan pada musim panas di Pakistan namun keadaan cuaca di kawasan pergunungan di Banjaran Karakoram sukar dijangka.

"Di awal perjalanan pendakian kami berdepan dengan cuaca panas melepasi sehingga 40 darjah selsius dan ketika Concordia terutama di waktu malam cuaca berubah sehingga negatif 22 darjah selsius.

"Perubahan suhu dan cuaca ini terutama di Concordia disebabkan pertembungan angin dari tiga negara yang mengelilinginya iaitu Pakistan, China dan India," katanya.

Kumpulan pendaki Ekspedisi Merdeka Day dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Thai Airways pada 17 September ini pada 12 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 12:48 PM
KUMPULAN pendaki Ekspedisi Merdeka Day ke Kem Induk Gunung K2 Pakistan bergambar di Kem Concordia.
KUMPULAN pendaki Ekspedisi Merdeka Day ke Kem Induk Gunung K2 Pakistan bergambar di Kem Concordia.