Tiga pendaki Malaysia berjaya menawan Gunung Denali 24 Jun lalu. FOTO Ihsan KJA
Tiga pendaki Malaysia berjaya menawan Gunung Denali 24 Jun lalu. FOTO Ihsan KJA
Abd Rahim Rahmat


TIGA pendaki yang juga rakyat Malaysia berjaya menawan Gunung Denali di Amerika Utara dalam cubaan kedua 24 Jun lalu.

Sebelum ini dua ahli Kelab Jelajah Alpine-Malaysia (KJA) mendaki gunung berkenaan pada 2014 namun tidak berjaya berikutan faktor cuaca.

Presiden KJA, Muhammad Illaham Ishak, 43, berkata, selain dirinya, dua lagi pendaki yang turut serta adalah Zainudin Lot, 43, dan Ayob Yahaya, 56.

Menurutnya, pendakian Gunung Denali adalah impian setiap pendaki sekali gus melengkapkan pendakian ‘The Seven Summits’ atau tujuh puncak tertinggi dunia.

Sebelum ini mereka menawan Kilimanjaro, Elbrus, Everest, Aconcagua, Carstenz Pyramid dan Konciouszko.

Muhammad Illaham berkata, ketika mendaki gunung itu pada 2014, dia dan Zainudin menghabiskan 18 hari di gunung itu sebelum akur dengan keadaan cuaca yang tak menentu.

“Selain cuaca terlalu sejuk, cabaran lain adalah tiada kemudahan porter di sini dengan tempoh pendakian kira-kira tiga minggu,” katanya.

Berikutan itu katanya, mereka mencuba sekali lagi mendaki gunung berkenaan dari 13 Jun lalu hingga 5 Julai lalu.

“Persediaan dilakukan sejak tahun lalu seperti berlari, berenang, mendaki bukit dan gunung.

“Selain itu kami turut didedahkan dengan kemahiran dalam pendakian gunung salji seperti cara merentasi glasier berkumpulan, cara menyelamat serta ‘survival’ pada suhu sejuk melampau,” katanya.

Mereka memulakan pendakian dari Kalhitna Glacier pada 14 Jun sebelum meneruskan perjalanan ke kem 1, kem 2 dan kem 3.

Seterusnya kumpulan KJA berjaya tiba di kem 4 pada ketinggian 4,300 meter 20 Jun lalu bagi penyesuaian suhu dan altitud.

“Selama dua malam kami berbincang mengenai strategi selain mendapatkan data terkini ramalan cuaca, bacaan angin, suhu serta taburan salji.

“Dengan menggunakan teknik kem secara gerila kami tiba di kem tinggi pada 5,200 meter sebelum tiba di puncak 12.30 tengah malam 24 Jun lalu.

“Berikutan keadaan mencabar di puncak, kami turun ke bawah segera dan sampai di kem induk 28 Jun lalu,” katanya.

Katanya, selepas berjaya menawan gunung berkenaan, mereka merancang mendaki Gunung Vinson Massif di benua Antartika.

Menurutnya, misi pendakian itu membawa mesej pendakian untuk keamanan di samping mempromosikan pendakian altitud tinggi dengan cara betul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 8:37 PM