MOHD Khafiz mengharumkan nama negara apabila berjaya menawan K2. FOTO ihsan Mohd Khafiz Bachok
MOHD Khafiz mengharumkan nama negara apabila berjaya menawan K2. FOTO ihsan Mohd Khafiz Bachok
Hafiz Ithnin


Skardu, Pakistan: Pendaki beraltitut tinggi negara, Mohd Khafiz Bachok, 45, mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya menawan gunung paling mencabar dunia, K2, di sini, pada jam 11.52 pagi, hari ini (2.52 petang tadi waktu Malaysia).

K2 adalah gunung yang terletak di Banjaran Karakoram di Pakistan mempunyai ketinggian 8,611 meter (m) dari aras laut dan direkodkan sebagai gunung kedua tertinggi dunia selepas Gunung Everest yang berkongsi sempadan antara Nepal dan China.

Makluman awal Harian Metro perolehi, Mohd Khafiz memulakan pendakian dari Skardu selama lapan hari ke kem induk gunung berkenaan yang mempunyai ketinggian 5,150m.

Keadaan cuaca yang tidak begitu baik menyebabkan dia hanya dapat memulakan proses rotasi bagi tujuan penyesuaian diri di altitut tinggi pada 12 Julai lalu.

Pendakian sebenar dari kem induk ke kem 1 yang berketinggian 6,065m bermula pada 22 Julai.

Dia tiba ke Kem 3 gunung berkenaan pada 25 Julai dan meneruskan pendakian ke puncak K2 pada 26 Julai jam 5.40 petang waktu tempatan.

Mohd Khafiz berdepan cabaran keadaan cuaca yang tak menentu sepanjang pendakian itu berlangsung.

Sebelum ini dilaporkan Mohd Khafiz melaksanakan pendakian itu sebahagian daripada misi ZEROTO8000 yang ditubuhkan olehnya bertujuan memupuk semangat berdikari dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mencapai impian mereka.

Ekspedisi mendaki Gunung K2 menelan kos hampir RM500,000 dan dia menggunakan dana peribadi hasil daripada penjualan rumah sendiri, barangan ZEROTO8000 seperti t-shirt, topi, poskad dan lain-lain selain menganjurkan beberapa ekspedisi pendakian gunung di luar negara.

ZEROTO8000 membawa maksud perjalanan Mohd Khafiz yang bermula dari Tanjung Piai, Johor pada ketinggian sifar meter dari aras laut menuju ke Gunung K2 sehingga berjaya menawan puncak gunung berkenaan yang mempunyai ketinggian melebihi 8,000 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 3:03 PM