MAS Ermieyati Samsudin bergambar dengan sembilan pendaki yang akan membawa Jalur Gemilang ke Kem Induk Gunung K2 dan Puncak Gondorogo-La. FOTO Nursyahirah Marzuki
MAS Ermieyati Samsudin bergambar dengan sembilan pendaki yang akan membawa Jalur Gemilang ke Kem Induk Gunung K2 dan Puncak Gondorogo-La. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


SEMBILAN pendaki Malaysia akan membawa Jalur Gemilang ke Kem Induk Gunung K2 dan Puncak Gondorogo-La di Pakistan sempena sambutan Hari Kebangsaan, tahun ini.

Ekspedisi yang dianjurkan Malaysia Backpakers (MBP) itu akan melakukan pendakian 17 hari untuk membawa Jalur Gemilang ke Kem Pangkalan Gunung K2 dan Puncak Gondorogo-La yang masing-masing pada ketinggian 5,650 meter dan 5,585 meter dari aras laut.

Sembilan pendaki itu juga akan melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial dengan memberi sumbangan peralatan sekolah kepada murid di kawasan pergunungan berkenaan.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ekspedisi itu mencerminkan semangat rakyat Malaysia yang berani untuk melakukan pendakian ke pergunungan yang terkenal dengan kesukarannya.

"Ekspedisi ini bukan satu pendakian yang mudah kerana ia memerlukan semangat yang kuat dan ketahanan fizikal untuk menempuhcabaran berbeza daripada gunung lain.

"Malah, aktiviti tanggungjawab sosial yang akan dilakukan adalah usaha positif kerana ia dapat mengeratkan hububgan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan dan Penyerahan Bendera XPDC Merdeka Day di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Pada majlis itu, Mas Ermieyati turut menyampaikan cenderamata kepada Harian Metro selaku media rasmi yang diwakili Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro, Husain Jahit.

Ekspedisi yang diketuai oleh Nor Afende Aminudin itu turut disertai wartawan Harian Metro, Hafiz Ithnin bersama tujuh peserta lain iaitu Zuraila Abd Jalal, Mohd Izzat Mohd Zin, Muhammad Azham Ab Hamid, Maznah Baba, Khairul Nizam Minhat, Muhammad Eddy Muhamadin dan Muhammad Hakim Daud.

FOTO Nursyahirah Marzuki

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 5:21 PM