Sebahagian yang ditahan kerana bermain judi sabung ayam di dalam kebun getah di Kampung Batu Gajah, Mukim Malau, Jitra, kelmarin. FOTO ihsan PDRM
Sebahagian yang ditahan kerana bermain judi sabung ayam di dalam kebun getah di Kampung Batu Gajah, Mukim Malau, Jitra, kelmarin. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

SEPULUH lelaki dicekup polis kerana bermain judi sabung ayam di dalam kebun getah di Kampung Batu Gajah, Mukim Malau, Jitra, kelmarin.

Dalam serbuan jam 2.30 petang itu, 10 kaki judi termasuk seorang warga tempatan ditahan ketika asyik bertaruh judi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, semua yang ditahan berusia 42 hingga 61 tahun dan kebanyakannya tinggal di luar daerah Jitra.

Katanya, mereka dipercayai tidak sedar kehadiran anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang menerima maklumat awam berhubung aktiviti itu sebelum menyamar sebagai penonton.

"Polis turut merampas barangan seperti tiga dadu, sebuah mangkuk kaca putih, satu piring kaca warna putih dan pelapik yang dibalut dengan surat khabar.

"Selain itu sehelai kanvas yang dilukis gambar buah dadu, wang tunai RM194, sehelai alas tikar getah, lapan batang besi yang diikat tali rafia, 11 ayam jantan, dan sembilan batang besi yang diasah disyaki taji ayam," katanya dihubungihari ini.

Mohd Ismail berkata, polis juga merampas keseluruhan wang tunai lebih RM6,000 yang disyaki digunakan untuk pertaruhan judi itu.

"Semua suspek dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut dan direman sehingga 11 September ini (esok) untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2)Akta Rumah Judi Terbuka 1951 dan Seksyen 44 (1) (g) Akta Binatang 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 6:05 PM