Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Empat lelaki yang leka bermain judi di bawah pondok kayu dalam kebun getah berhampiran Taman Bersatu, di sini, ditahan dalam Op Dadu, petang semalam.

Dalam serbuan pada 5.30 petang, suspek berusia 33 hingga 60 tahun dipercayai menjadikan pondok itu sebagai 'port' baru selepas lokasi lama dalam kebun getah Kampung Naga diserbu, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka yang juga penduduk tempatan sedang berjudi di dalam kebun getah berkenaan.

SALAH seorang lelaki yang dicekup polis kerana terbabit dengan aktiviti judi berhampiran Taman Bersatu. FOTO ihsan PDRM
SALAH seorang lelaki yang dicekup polis kerana terbabit dengan aktiviti judi berhampiran Taman Bersatu. FOTO ihsan PDRM

"Polis merampas antaranya sebuah meja kayu, lima kerusi plastik, tiga dadu, alas kain kanvas tercetak angka dan wang tunai disyaki wang pertaruhan berjumlah RM2,755.

"Hasil siasatan mendapati mereka masing-masing mempunyai rekod jenayah termasuk seorang daripadanya berusia 46 tahun mempunyai empat rekod jenayah," katanya.

Menurutnya, empat lelaki itu masing-masing dikompaun RM4,000 Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Katanya, selain itu siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 2:05 PM